Thursday, April 17, 2014

SEJARAH PAK KADOK

Lagenda Ikan Tapah – Hikayat Pak Kadok

Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah seorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun

Bermula Kisah

Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.

Si Kaduk

Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan Raja daripada Negeri SiakSumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayarannya lalu datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya.

Ayam

Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam lalu ular tersebut meletakkan telur tersebut di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur ayam tersebut dan dieramkan oleh ayam ternakannya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk para pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Si Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam handalnya itu.

Kisah Pertarungan dan Persabungan Ayam

Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya.
Dan di pihak Sultan pula: Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri Perak jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Pak Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama ia tidak menyabung ayam.
Lantas dengan penuh debarannya Pak Kadok menunggu hari penyabungan ayam bersama baginda Sultan, Pak Kadok sekali lagi telah melakukan perbuatan yang tidak masuk akal. Dengan sebab majlis penyabungan ayam tersebut dibuat di istana Sultan, Pak Kadok telah merasakan ia perlu menyiapkan diri dengan pakaian yang lebih baik ketika hari penyabungan berlangsung. Pak Kadok sedar yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian baru kerana dia adalah orang yang miskin. Dia telah meminjam sedikit wang daripada isterinya untuk membeli kertas kajang yang besar. Lalu apabila pulang dari pasar, Pak Kadok telah memberikan kertas kajang yang baru dibeli olehnya itu kepada isterinya untuk dijahit sebagai baju melayu, seluar dan tengkolok. Isteri Pak Kadok begitu hairan dengan arahan suaminya itu namun ia tetap akur untuk menjahit. Tatkala, bermulanya hari penyabungan, Pak Kadok telah memakai baju kertas yang dijahit rapi oleh isterinya itu.

Kekalahan

Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Pak Kadok yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Pak Kadok pun bersorak sakan kerana ayamnya menang sehinggakan baju dan seluar kertasnya terkoyak rabak dan yang hanya tinggal Pak Kadok bertelanjang bulat. Sultan dan para penonton telah mengetawa dan mengejek Pak Kadok atas keadaannya ketika itu. Dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan. Pak Kadok berasa amat malu dan terus pulang kerumahnya, lalu menceritakan perkara sebenar kepada isterinya. Isteri Pak Kadok pada mulanya berasa sangat marah dengan keadaan berbogelnya Pak Kadok itu, tetapi ia tetap meminta untuk Pak Kadok bersabar, bertenang dan meminta perlindungan dari Allah.
Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu menanam padi huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Pak Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki Kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetapi ia tetap juga begitu.
Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar. Diberitakan oleh Hajah Halimah binti Abdullah (cucu kepada Ngah Jabor atau Imam Prang Jabar, pengasas Kampar) Pak Kaduk pada mulanya apabila ternampak ikan tapah itu tidaklah tahu bagaimana cara untuk menguruskannya (mungkin kerana terperanjat dan buntu) tetapi dengan tiba-tiba seekor Burung Kakaktua telah hinggap diatas dahan sebatang pokok yang meneduhi diri Pak Kaduk lalu berbunyi "Blah pruut..blah pruut". Perkataannya itu dianggap Pak Kaduk sebagai membelah perut ikan itu, lalu dengan segeranya Pak Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Pak Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan.

Sumpahan


Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan
Maka Pak Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Pak Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…”
Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air.

Tebus


Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah
Pak Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.
Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segalanya selesai, Pak Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa.
Diantaranya Sultan Perak melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis. Pak Kaduk juga telah mengikat perjanjian dengan Sultan Perak pada waktu itu untuk tidak membenarkan dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya untuk membuat perkara larangan istana perak ataupun pantang larang DiRaja Perak misalnya membela kucing hitam, mempunyai buaian buluh dan sebagainya sepertimana yang termaktub dalam Adab Pantang Larang DiRaja Perak.

Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah

Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan inilah yang digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Pak Kaduk jika terkena bisa Ikan Tapah.
Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam.

No comments:

Post a Comment